Tuesday, May 13, 2008

Dasar Meritokrasi, Kesan dan Halatuju Dasar Pendidikan Negara

Salam muhibah...
Keputusan untuk memasuki Kolej Matrikulasi bagi pelajar lepasan SPM 07 /08 sudahpun keluar dan hal yang sama juga berlaku kepada mereka yang memohon program diploma di Universiti yang menawarkan program terbabit. Belum semak lagi? Aduh...cepat semak dik...

Saya amat tertarik sekali melihat keputusan cemerlang para pelajar pada masa kini.Tahniah kepada mereka yang berjaya, tentunya anda mengimpikan peluang belajar di universiti yang anda cita-citakan selama ini tercapai. Sebagai seorang yang terlibat dalam bidang konsultansi pendidikan, KOT mengharapkan adik-adik tidak terlalu kecewa dengan keputusan yang bagi adik tidak cemerlang, tapi sebenarnya adalah cukup cemerlang di tempat lain. Mengapa KOT berkata begitu?

Sistem meritokrasi dilaksanakan buat pertama kalinya pada tahun 2002 bagi menggantikan sistem kuota yang menetapkan sebanyak 55 peratus pelajar bumiputera dan 45 peratus untuk (pelajar) bukan bumiputera bagi kemasukan di IPTA (dipetik dari Utusan Malaysia, 27 Mei 2004).Meritokrasi secara definisinya ialah merit-iaitu sistem yang membenarkan kemasukan ke sesuatu tempat melalui saringan yang telus-hanya yang cemerlang, berjaya -tanpa dibatasi oleh faktor pengkhususan seperti kaum, taraf hidup dan sebagainya. Inilah dilema yang dihadapi, tetapi KOT percaya perlaksanaan ini sebenarnya bertujuan meningkatkan kebolehsaingan anak2 Melayu terutamanya dengan bangsa lain. Dasar Meritokrasi yang dilaksanakan semasa era kepimpinan Tun Dr Mahathir melihatkan satu keterbukaan kepada sikap orang Melayu; bersaing bersama-sama bagi mencapai kecemerlangan. KOT sendiri yang juga hasil daripda sistem meritokrasi melihat ianya sebagai satu 'tools' atau 'indicator' menguji,menilai dan mengetahui kekuatan kita dalam membuktikan bahawa bangsa Melayu bukanlah bangsa bertongkat, hanya masuk ke Universiti melalui kuota yang disediakan!

KOT ingin mengajak anda berfikir sejenak, melihat kepada beberapa fakta dibawah dan mentafsir mengikut pendapat anda.

1) Berita penting untuk orang Melayu: Pelajar bumiputera merupakan kumpulan terbesar yang diterima masuk ke lima fakulti kritikal, iaitu fakulti perubatan, fakulti pergigian, fakulti kejuruteraan elektronik, fakulti kejuruteraan kimia dan perakaunan dalam pengambilan sesi 2004/2005 di IPTA, berdasarkan sistem meritokrasi. Seramai 439 pelajar atau 56.4 peratus berjaya memasuki bidang perubatan berbanding 340 pelajar bukan bumiputera, bidang pergigian 125 orang atau 58.9 peratus, kejuruteraan elektronik 1,113 orang atau 72.8 peratus, kejuruteraan kimia 489 orang atau 63.4 peratus dan perakaunan 845 orang atau 57.5 peratus.

KOT-Orang tidak menyangka, malah mungkin terkejut, mendengar berita bahawa, berdasarkan sistem meritokrasi, pelajar Melayu (atau bumiputera) tiba-tiba dapat melebihi jumlah pelajar bukan bumiputera dalam bidang yang dikatakan kritikal itu. Rasa tidak sangka atau terkejut ini timbul dari mitos lama yang mengatakan bahawa pelajar Melayu tidak pandai dan tidak cerdik dan mereka pasti tidak akan dapat menyaingi pelajar bukan bumiputera kalau persaingan itu didasarkan atas sistem meritokrasi.

2)seramai 24,678 orang pelajar bumiputera memohon masuk ke aliran sains tetapi hanya 14,497 orang atau 68.7 peratus sahaja yang berjaya, bererti 41.3 peratus gagal; ini peratusan yang cukup besar. Tentang pelajar Cina pula, daripada 9,577 orang yang memohon masuk ke aliran sains, 8,047 orang atau 84 peratus berjaya. Peratus gagalnya hanya 16 peratus. Jadi, kalau berdasarkan kadar jumlah pelajar bumiputera-bukan bumiputera, nampaklah bahawa kejayaan pelajar Cina masih jauh lebih tinggi daripada kadar kejayaan pelajar bumiputera.

3)Menurut laporan, jumlah permohonan yang diterima pada tahun ini untuk masuk ke IPTA ialah sebanyak 85,966 orang, daripada jumlah ini 39,724 permohonan untuk aliran sains dan 46,242 untuk jurusan sastera. Yang berjaya diterima masuk hanya 38,892 orang. Ini bererti sebanyak 47, 242 pemohon terpaksa ditolak, walaupun ini tidak bererti mereka tidak layak dari segi kelayakan akademiknya untuk mengikuti pengajian di peringkat universiti dalam bidang apa pun, termasuk perubatan, sains, kejuruteraan dan sebagainya.

4)Saya teringat kata-kata seorang ahli falsafah atau pemikir pendidikan di Barat. Dia berkata bahawa The purpose of education is not to inform but to form, maksudnya, tujuan atau matlamat pendidikan bukan untuk menyampaikan maklumat tetapi untuk membentuk. Membentuk tentunya bererti, membentuk budaya ilmu, akhlak, akal budi dan budi pekerti yang mulia, dan sebagainya. Dapatkah meritokrasi yang hanya berdasarkan kecemerlangan otak atau kecemerlangan quantifiable intelligence, seperti yang dianjurkan oleh Michael Young dalam bukunya, The Rise of Meritocracy (1958), membentuk manusia atau pelajar seperti itu? Tujuan Michael ialah melalui meritokrasi, satu kumpulan manusia elit yang kira-kira robotik sifatnya dari segi meritokrasi otaknya, dapat dibina untuk memerintah atau mentadbirkan negara berdasarkan merit atau kelayakan otak mereka, menggantikan sistem aristokrasi. Kalau ini maksud atau tujuan meritokrasi, maka tidak ada kerajaan atau pemimpin negara di dunia yang layak dikatakan meritorious dari segi teori intelligence otak itu. Yang tidak diambil kira ialah meritokrasi budaya atau cultural intelligence, meritokrasi moral dan emotional intelligence.

0 comments:

Newer Post Older Post Home