Monday, May 12, 2008

Kurang 9,000 pakar perubatan


Oleh ABDUL YAZID ALIAS

SHAH ALAM 27 April - Negara masih memerlukan seramai 9,000 pakar perubatan bagi menampung kekurangan tenaga kerja dalam bidang itu untuk memenuhi keperluan kesihatan rakyat di hospital dan klinik kerajaan di seluruh negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai berkata, jumlah itu mewakili 40 peratus jawatan yang diperlukan di pusat kesihatan awam berkenaan manakala 60 peratus lagi telah pun diisi sejak tahun 2003.

Katanya, kekurangan itu disebabkan faktor gaji yang rendah di negara ini sehingga pakar perubatan lebih cenderung menawarkan perkhidmatan di luar negara yang gajinya jauh lebih lumayan.

Malah, ujarnya, kekurangan tersebut turut berlaku apabila ada pelajar yang melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di institusi pengajian tinggi di luar negara tidak layak menjadi pegawai perubatan kerana kelayakan mereka tidak diiktiraf oleh kerajaan.

Beliau berkata, pihaknya telah melaksanakan program bagi menggalakkan doktor pakar Malaysia di seberang laut kembali berkhidmat di negara ini dengan mengkaji semua bayaran gaji dan menempatkan gred mereka sehingga kepada Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) C hingga A.

Tiong Lai berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Persatuan Bekas Pelajar Malaysia Universiti Taiwan di sini hari ini.

"Setakat ini, seramai 112 orang telah kembali untuk berkhidmat di negara ini sebagai doktor pakar dalam pelbagai bidang termasuk pembedahan, pergigian dan sebagainya.

"Bagi pelajar yang kelayakan mereka tidak diiktiraf oleh kerajaan pula, kita telah perkenalkan peperiksaan khas dan sekiranya mereka lulus, mereka boleh berkhidmat sebagai pengamal perubatan di hospital dan klinik awam sebagai satu langkah untuk mengatasi masalah kekurangan tenaga pakar,'' katanya.

Dalam pada itu, Tiong Lai berkata, pihaknya turut menggalakkan pakar perubatan sama ada dari sektor swasta atau pegawai perubatan yang telah bersara supaya dapat melakukan kerja sukarela bagi membantu operasi hospital dan klinik kerajaan.

Katanya, langkah itu bukan bertujuan untuk mengatasi masalah kekurangan tenaga pakar tetapi dianggap sebagai 'khidmat negara' bagi membantu kerajaan dan rakyat untuk sama-sama meningkatkan taraf kesihatan negara ini.

"Kalau boleh saya harapkan golongan ini (pakar perubatan swasta dan bekas pegawai perubatan) dapat tampil membantu kerajaan misalnya sebulan sekali ataupun dua bulan sekali," katanya.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA - 28 APRIL 2008

0 comments:

Newer Post Older Post Home